Thursday, June 30, 2011

Pergimu duka..datangnya bahagia

Tatkala kehilangan anak tersayang memang sesuatu yang memedihkan. Sepenuh daya usaha kurasakan kudrat ini untuk menjaga zuriat dan menyelamatkannya. Namun Tuhan lebih menyayanginya. Saat disahkan mengandung, hatiku sungguh gembira. Lantas terus ku ambil wuduk dan sujud syukur. Sungguh tak terhingga anugerah yang diberikan ini. Hari pertama check-up, sungguh teruja bila lihat bayiku sihat dalam kandungan. Terasa ingin ku genggam tangan kecil itu. Ingin ku katakan pada dunia betapa aku terlalu sayang padamu. Inginku kongsi kegembiraan itu bersama suami tercinta, tapi apakan daya kami terpaksa berjauhan demi tuntutan kerja.

2 minggu kemudian, tatkala aku pulang kerja, hatiku sungguh runsing bila keluar darah. Malam tu aku menangis sepenuh hati bila doktor sahkan bayiku tiada jantung dan memang perlu digugurkan. Aku keseorangan tanpa suami disisi, aku tak kuat. Aku menangis sepenuh hati. Suami minta aku cuti tanpa gaji selama 1 bulan. 3 minggu kemudian aku terpaksa makan ubat untuk gugurkan kandungan memandangkan janin tidak mahu keluar juga dan aku pula demam kerana jangkitan kuman.

Sakit sungguh keguguran ni. Walaupun darah mencurah-curah dan daging berketul-ketul keluar, tapi anakku tidak mahu keluar juga. Terpaksa lah aku ke klinik swasta untuk keluarkan janin tersebut dan doktor minta aku cuci rahim kerana masih terdapat uri yang masih melekat di dalam rahim. Oleh kerana tidak mampu biayai kos di klinik swasta, terpaksa aku berpindah pula ke hospital kerajaan. Di situ peritnya makin terasa bila terpaksa puasa 2hari dan selalu diperiksa doktor berbeza. Tapi Alhamdulillah, akhirnya aku dapat pulang juga setelah selesai semuanya dan demamku beransur kebah. Kenangan berjuang di bilik bedah memang tidak dapat ku lupakan.

Aku pulang ke kampung untuk menyempurnakan janin aku. Aku namakan 'Awatif Silmi'. Anak umi masih belum ada jantina, tapi sudah ada muka, kaki dan tangan. Umi dapat pegang Awatif buat kali terakhir dan abah susah payah gali tanah untuk semadikan Awatif belakang rumah wan. Sedih sangat, tapi kena tabahkan hati.

Bila terpaksa kembali bekerja hatiku sungguh berat. Tiap2 minggu terpaksa balik urut di kampung memandangkan rahim terlalu rendah dan keadaan kesihatan tidak memuaskan. Aku asyik berhubung dengan JPA untuk urusan pertukaranku memandangkan sudah tidak tahan lagi tanggung sakit demam berseorangan di sini. Sejak aku kehilangan anakku, aku jadi tak kuat. Kesihatan makin merosot. Hari-hari ku doakan Awatif sejahtera di sana dan aku dapat zuriat lagi. Aku juga berdoa setiap kali solat, semoga aku dapat bersama suami tercinta.

Hari ini sinar bagi aku. Aku terima surat pertukaranku ke Kuantan. Alhamdulillah, doaku sudah dimakbulkan Tuhan. InsyaAllah, hari isnin nanti 4.7.2011 aku akan lapor diri di tempat baru. Syukur padaMu ya Allah. Hujan pagi ini, pelangi muncul di waktu petang. Indah sungguh kurniaanMu ya Allah. Berkatilah hidup hambaMu ini Ya Allah. Peliharalah imanku dan rumahtanggaku. Kurniakanlah aku zuriat sebagai penyeri rumahtanggaku, yang akan mendoakan kesejahteraanku dan suamiku di dunia dan akhirat. Ameen Ya Rabbal Alamin...

No comments:

Post a Comment